Pesawat MAS dengan logo retro gaya 70-an



KUALA LUMPUR 5 April - Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines mengumumkan penggunaan semula pesawat B747-400 miliknya dengan imej asal syarikat tersebut.

Menurut Malaysia Airlines Bhd. (MAB), penggunaan semula imej tersebut adalah bagi meraikan nilai-nilai sejarah syarikat penerbangan berkenaan.

Ketua Pegawai Komersial Malaysia Airlines, Paul Simmons berkata, pesawat yang diberikan gelaran Queen of the Skies akan memulakan operasinya untuk meraikan imej dan reka bentuk lama jenama syarikat penerbangan itu.



“Nilai-nilai retro ini pastinya akan menarik perhatian pelanggan-pelanggan syarikat dan akan menemui pesawat dengan gaya 1970-an ini apabila sudah beroperasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pesawat itu dijangka bakal digunakan di dalam operasi Malaysia Airlines pada bulan ini untuk ke beberapa destinasi terpilih.

Imej baharu itu menggunakan wau lama iaitu wau bulan Kelantan. Jelas MAB, penggunaan logo itu berkait rapat dengan ciri-ciri negara ini.

MAB juga menjelaskan, pesawat itu kemudiannya akan digunakan sebagai pesawat tambahan syarikat untuk tujuan tertentu ke beberapa destinasi jika diperlukan.

Popular Posts